KUANTAN, 28 Sept (Bernama) -- Seorang petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh bot dan dihanyutkan arus di kawasan sungai Kampung Kedaik, Rompin hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata pihaknya menerima laporan melibatkan kehilangan Saharudin Harun, 44, pada 10.20 pagi tadi.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar 10 pagi ketika mangsa bersama seorang rakannya memancing di situ.
“Namun, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah rakit, kipas bot dinaiki mereka telah tersangkut pada pukat menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian depan telah terjatuh dan dihanyutkan arus.
“Rakan mangsa cuba membantunya namun enjin bot tidak dapat dihidupkan sebelum (rakan mangsa) mendayung bot ke rumah rakit berhampiran dan mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta pihak polis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial