Inkues Zara Qairina: Saksi Kanak-Kanak Kedua Selesai Beri Keterangan

24/09/2025 06:36 PM

KOTA KINABALU, 24 Sept (Bernama) -- Seorang pelajar yang merupakan saksi kanak-kanak kedua selesai memberi keterangan dalam prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Pelajar yang dipanggil pada prosiding inkues itu selesai memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada 4.15 petang ini.

Mahkamah dijadual meneruskan prosiding esok dengan mendengar keterangan saksi kanak-kanak ketiga.

Setakat ini, 10 saksi termasuk dua kanak-kanak telah memberi keterangan sejak prosiding bagi menentukan punca kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu dimulakan pada 3 Sept lepas. 

Sebanyak 25 saksi dewasa dan 33 lagi saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan dalam inkues berkenaan pada sesi akan datang.

Berdasarkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2017, yang secara jelas melarang penerbitan sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak, petugas media dilarang berada di dalam mahkamah semasa prosiding secara tertutup bagi melindungi saksi tersebut.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.

Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan