IPOH, 19 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 102 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang disimpan tanpa kebenaran dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pantai, Kuala Kurau, dekat Parit Buntar semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamaluddin Ismail berkata serbuan pada 9.34 pagi menerusi Op Gasak 2025 dilakukan hasil risikan dan pemantauan selama seminggu oleh pasukan penguat kuasa cawangan Parit Buntar.
“Hasil pemeriksaan di premis terbabit menemukan 102 tong LPG bersubsidi berkapasiti 12 dan 14 kilogram yang disimpan tanpa permit sah. Pasukan penguat kuasa turut menyita sebuah lori serta beberapa dokumen dengan nilai sitaan berjumlah RM31,690.80,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemilik premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.
“Orang ramai diseru menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan bersubsidi agar ketirisan subsidi kerajaan dapat dibanteras,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial