Lima Ditahan Serang Pengawal Keselamatan Hingga Maut

16/09/2025 09:52 AM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes seorang pengawal keselamatan maut selepas diserang dengan senjata tajam dalam satu pergaduhan di kawasan rumah kedai di Semenyih, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata sebelum kejadian, pengawal keselamatan itu terlibat perselisihan faham dengan rakannya, iaitu seorang pemandu lori warga tempatan berusia 37 tahun, ketika sedang minum bersama empat rakan. 

“Dalam kejadian di kawasan padang sebuah taman perumahan di Semenyih itu, pemandu lori berkenaan cedera di jari akibat terkena senjata tajam dan semua lima individu terbabit kemudian beredar dari lokasi.

“Pada kira-kira 4.30 pagi, pemandu lori bersama rakan-rakannya yang tidak berpuas hati telah pergi ke tempat tinggal pengawal keselamatan berusia 38 tahun itu, iaitu di deretan rumah kedai di kawasan Semenyih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Naazron berkata seorang daripada rakan pemandu lori itu menyerang pengawal keselamatan berkenaan dengan senjata tajam sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian tangan dan badan mangsa.

“Mangsa telah dikejarkan ke hospital dengan bantuan rakan-rakannya sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini di Unit Forensik Hospital Kajang bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Naazron berkata lima lelaki berusia 31 hingga 37 tahun berkenaan ditahan bersama beberapa barang rampasan dan permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala pengawal keselamatan yang meninggal dunia mempunyai tujuh rekod jenayah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ong Eng Yew melalui talian 012-6966849 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan