PGA Rampas Lebih 3,400 Batang Kayu Pelbagai Jenis Di Pasir Mas

12/09/2025 06:23 PM

KOTA BHARU, 12 Sept (Bernama) -- Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 3,490 batang kayu pelbagai jenis dalam serbuan di sebuah kilang kayu di Kawasan Perindustrian Apam, Pasir Mas pada Rabu.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan melibatkan 1,590 batang kayu bulat pelbagai saiz serta 1,900 batang kayu siap diproses dengan pemilik kilang itu gagal mengemas kini dokumen berkaitan pemindahan kayu yang dibawa masuk ke dalam premis berkenaan.

“Selain itu, beberapa peralatan memproses kayu dan dua buah jentera berat turut disita. Nilai keseluruhan rampasan dianggar RM2.9 juta.

“Barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 69(1) Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata anggota PGA turut merampas pelbagai produk kosmetik selepas menahan sebuah kenderaan di sekatan jalan raya Cabang Empat Salam, Rantau Panjang pada Selasa.

Nik Ros Azhan berkata hasil pemeriksaan menemukan pelbagai jenis produk kosmetik dari Thailand di bahagian belakang kenderaan terbabit, manakala pemandunya gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan barangan itu.

“Pemandu, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang dipercayai penghantar produk kosmetik berkenaan ke pasaran tempatan turut ditahan. Anggaran rampasan keseluruhan termasuk kenderaan bernilai RM259,000.

“Kesemua rampasan diserahkan kepada Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Kelantan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan