KOTA BHARU, 9 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan mengenal pasti kawasan Pulau Tengkorak dekat Pengkalan Kubor, Tumpat sebagai ‘hotspot’ jenayah rentas sempadan, khususnya penyeludupan rokok dan kemasukan pendatang tanpa izin.
Pengarahnya Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata kawasan itu mempunyai garis pantai sejauh lima kilometer hingga ke Pantai Geting dan bersempadan dengan pekan Takbai, Thailand.
Beliau berkata kedudukan pulau itu yang menghadap Laut China Selatan dan berhampiran dengan negara jiran memudahkan penyeludup mendaratkan barangan atau membawa masuk pendatang asing.
“Di kawasan itu juga terdapat rimbunan pokok ru serta banyak ‘laluan tikus’ yang digunakan sindiket untuk keluar masuk, terutama pada waktu malam.
“Jarak sempadan Malaysia-Thailand yang hanya kira-kira 500 meter dari muara Kuala Takbai membolehkan penyeludup menggunakan bot kecil dan melarikan diri dengan cepat jika dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama hari ini.
Erwan Shah berkata garis pantai Kelantan yang melebihi 70 kilometer sentiasa menjadi pilihan sindiket kerana bersempadan dengan perairan Thailand manakala Pantai Geting sering dijadikan lokasi pendaratan kerana kawasannya yang luas dan sukar dikesan.
“Walaupun rondaan kerap dilakukan, kawasan ini tetap menjadi pilihan. Pada Jun lepas, lapan warga Myanmar berjaya ditahan di lokasi berkenaan. Setakat September ini, lima kes penyeludupan membabitkan migran tanpa dokumen serta rokok seludup telah direkodkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial