KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Tiga beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi kerja paksa sejak Mac 2023.
Cassandra D'Silva Louis, 39, dan ibu bapanya Celine Clara Lewis, 63 dan Louis L. Edward, 66, didakwa dengan niat bersama telah memperdagangkan wanita itu bagi tujuan eksploitasi kerja paksa dengan menggunakan kekerasan di sebuah rumah di Taman Desa, dekat sini, pada Mac 2023 hingga 21 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Habibullah Mohammad Shah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun jika mahkamah memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
"Pihak pendakwaan juga mencadangkan syarat tambahan kesemua tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan mereka perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai," katanya.
Peguam P.N. Nagarajan memohon mahkamah membenarkan ketiga-tiga anak guamnya diikat jamin atas alasan mereka menghidap penyakit darah tinggi dan lelah kronik yang memerlukan pemantauan serta rawatan susulan di hospital.
"Kesemua anak guam tinggal di rumah yang sama di Taman Desa dan mereka juga bersedia menerima syarat tambahan yang dikenakan oleh mahkamah," katanya.
Hakim Azura Alwi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri sebulan sekali hingga kes selesai selain menetapkan 6 Okt ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial