Dialog Khas IV PDRM Fokus Keselamatan Jalan Raya, Pengurusan Trafik

26/08/2025 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Dialog Khas IV Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijadualkan berlangsung pada suku keempat tahun ini akan menumpukan kepada aspek keselamatan jalan raya dan pengurusan trafik khususnya isu penganjuran konvoi bermotosikal. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu berkenaan memerlukan perhatian serius dan pendekatan strategik untuk mengelak sebarang masalah seperti pelanggaran undang-undang dan kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan.

"Kita akan bincangkan pelbagai perkara termasuk isu konvoi. Sebenarnya, prosedur operasi standard (SOP) tentu ada. Kita mempunyai perintah tetap Ketua Polis Negara yang menjelaskan perkara yang dibenarkan dan dilarang.

"Contohnya, marsyal yang dilantik penganjur ada had. Mereka tidak boleh mengawal kenderaan lain atau mengatasi lampu isyarat dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas ketika Dialog Khas III PDRM 2025 di sini hari ini

Media sebelum ini melaporkan lima kematian akibat kemalangan direkodkan sepanjang himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Gong Badak, Kuala Nerus Terengganu, Sabtu lepas.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata dua lagi acara utama di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan diadakan selepas ini itiu PDRM Security Symposium (PSS) pada 26 hingga 28 Jan 2026 dan Asia International Security Summit and Expo (ACE) edisi kedua pada Januari 2027.

PSS akan menumpukan kepada teknologi dan inovasi dalam keselamatan serta keselamatan awam manakala ACE ialah acara berprestij yang menghimpunkan penyedia penyelesaian teknologi keselamatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan