NIBONG TEBAL, 17 Ogos (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan dua notis susulan kemalangan maut di Jalan Air Lintas di sini, dipercayai berlaku ketika pihak kontraktor menjalankan kerja-kerja membaiki jalan tar yang gagal ujian Nisbah Galas California (CBR).
JKKP Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan semasa pemasangan papan tanda dan kon keselamatan, sebuah motosikal yang ditunggang laju melanggar papan tanda amaran dan tercampak ke bahagian belakang sebuah lori di lokasi kerja dalam kemalangan pada 11.30 malam, Rabu lepas.
“Mangsa telah dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia. Sehubungan dengan itu, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan notis perbaikan berkaitan Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).
“JKKP turut mengeluarkan notis prosedur kerja selamat bagi aktiviti kerja membaiki jalan kepada pihak-pihak terlibat dan mengarahkan majikan mengemukakan dokumen berkaitan serta menjalankan laporan siasatan dalaman,” menurut kenyataan itu hari ini.
JKKP Pulau Pinang memaklumkan pihaknya juga menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi semua saksi yang telah dikenal pasti.
Menurut kenyataan itu, pihaknya akan mengambil tindakan jika terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 dan majikan bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengenal pasti bahaya, menilai risiko dan mengawal risiko di tempat kerja selaras dengan keperluan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial