KUALA TERENGGANU, 2 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang lagi warga Turkiye Eser Demirkol yang hilang selepas Kapal Layar Daisy dinaiki karam di perairan Pulau Yu di sini, diteruskan untuk hari ketiga hari ini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu dalam kenyataan hari ini berkata pencarian mangsa dan kapal layar tersebut kini menumpukan pada sektor merangkumi 73.5 batu nautika persegi.
Kenyataan tersebut memaklumkan operasi yang bermula 7 pagi tadi melibatkan aset udara dan laut milik Maritim Malaysia dan Polis Marin.
“Selain itu penyelam Maritim Malaysia juga dijangka akan membuat selaman hari ini,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini dilaporkan, tiga lelaki warganegara Turkiye iaitu kapten kapal Ahmet Volkan Ata, 52, Ates Demiroren, 42, dan Demirkol, 52, yang merupakan peserta pelayaran merancang melakukan siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal mereka pada Isnin lepas.
Bagaimanapun, pada petang Selasa kapal layar itu dilanda ribut dan dipercayai karam di perairan Pulau Yu.
Demiroren dijumpai dan diselamatkan oleh nelayan tempatan tengah hari Khamis manakala Volkan Ata ditemui selamat pada malam hari yang sama oleh bot nelayan tempatan setelah lebih 40 jam berenang di laut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial