153 Disaman Tidak Pakai Tali Pinggang Keledar Dalam Bas

30/07/2025 10:03 AM

MELAKA, 29 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 153 notis saman kepada penumpang serta pemandu bas ekspres dan persiaran kerana tidak memakai tali pinggang keledar, dalam tempoh 1 Julai hingga semalam.

Pengarahnya Siti Zarina Mohd Yusop berkata daripada jumlah itu, sebanyak 18 notis dikeluarkan kepada pemandu bas manakala 135 notis saman dikeluarkan kepada penumpang kenderaan. 

"Pemakaian tali pinggang keledar diwajibkan ke atas semua penumpang dan pemandu bas ekspres serta persiaran bermula 1 Julai lepas dan hingga hari ini, kita telah memeriksa sebanyak 350 kenderaan terbabit.

"Kesalahan berkenaan dikesan menerusi penyamaran anggota dalam bas terlibat selain penguatkuasaan operasi yang dijalankan secara berkala sepanjang tempoh itu," katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Bersepadu JPJ Melaka di Batu Berendam di sini malam tadi.

Beliau berkata menerusi penguatkuasaan itu, kebanyakan pemandu bas dan penumpang didapati tidak memakai tali pinggang keledar disebabkan sikap sambil lewa dan kurang kesedaran walaupun telah diingatkan oleh pemandu sebelum memulakan perjalanan.

Justeru, tindakan mengeluarkan saman tanpa kompromi dilakukan sebagai peringatan kepada pemandu dan penumpang supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

Siti Zarina berkata pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan semua pengusaha syarikat bas ekspres dan persiaran di negeri itu sebagai inisiatif menghebahkan perlaksanaan pematuhan pemakaian tali pinggang keledar. 

Selain itu, pihaknya mengeluarkan bahan promosi dalam bentuk 'soft copy' seperti poster berkaitan perlaksanaan penguatkuasaan untuk ditampal dalam kenderaan sebagai peringatan kepada pemandu dan penumpang bagi mengelak disaman.

Operasi bersepadu melibatkan lebih 70 anggota penguat kuasa pelbagai agensi bermula 8 hingga 12 tengah malam tadi dan sebanyak 745 kenderaan diperiksa serta 197 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan