MBPP Sita 19 Motosikal Halang Laluan

28/07/2025 08:24 PM

GEORGE TOWN, 28 Julai (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyita sebanyak 19 motosikal yang sengaja diletakkan untuk tujuan komersial dan perniagaan di sebuah premis membaiki motosikal sehingga menyebabkan halangan di laluan lorong belakang bangunan itu di sini.

MBPP dalam kenyataan memaklumkan operasi khas itu dijalankan oleh Unit Hiburan, Iklan, Garaj dan Lancang Air, Jabatan Pelesenan bersama Jabatan Penguatkuasaan kerana pemilik premis itu telah menyalahgunakan lorong belakang sebagai tempat meletak motosikal.

"Tindakan pemilik premis terbabit telah menyebabkan halangan di laluan lorong belakang bangunan, malah ia menyukarkan pergerakan penduduk, kenderaan kecemasan, penyelenggaraan serta menimbulkan masalah kepada kerja-kerja pembersihan.

"Tindakan penguatkuasaan itu diambil berdasarkan Akta Seksyen 3 Undang-undang Kecil Penang Municipal Garages by Laws 1952 dan Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974," menurut kenyataan itu hari ini.

MBPP memaklumkan selain tindakan penguatkuasaan, pegawai Jabatan Pelesenan turut memberikan teguran dan khidmat nasihat mengenai tatacara yang betul meletak motosikal untuk tujuan perniagaan supaya pemilik premis terbabit dapat mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Kesemua motosikal yang disita telah dibawa ke stor Jabatan Penguatkuasaan MBPP untuk tujuan penyimpanan, dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

 

TAG: MBPP, sita, motosikal, lorong belakang, premis baiki motosikal, halangan

 

 


EIY FBP HAZ


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan