Taktik Guna Kereta Edar Dadah Tumpas, Syabu RM3.072 Juta Dirampas

28/07/2025 07:32 PM

KUCHING, 28 Julai (Bernama) -- Taktik licik sindiket pengedaran dadah menggunakan kereta sebagai “stor bergerak” untuk menyerahkan bekalan kepada pembeli berjaya dihidu polis dalam satu operasi khas di Kota Sentosa pada 19 Julai lepas.

Pengarah Jabatan  Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk  Hussein Omar Khan berkata serbuan oleh Jabatan Narkotik Bukit Aman bersama Jabatan Narkotik Sarawak pada 8.50 malam itu, membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia  25 dan 27 tahun, dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza.

Beliau berkata sindiket yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini akan meninggalkan kenderaan berisi dadah di lokasi tertentu dalam keadaan tidak berkunci, membolehkan pembeli mengambil sendiri bekalan tanpa sebarang interaksi fizikal bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan satu beg hitam dan tiga kotak keperangan berisi 80 bungkusan bertulisan “Guan Yin Wang” yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu. 

"Jumlah rampasan dianggarkan seberat 83 kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM3.07 juta dan mampu merosakkan sejumlah 415,000 individu. Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM1,100 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM3.072 juta," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata siasatan awal mendapati sindiket memperoleh bekalan dadah dari Semenanjung Malaysia melalui laluan udara untuk dipasarkan di Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

"Saringan awal air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis amfetamina dan methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes perjudian dan memberi maklumat palsu.

"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bermula 21 hingga 27 Julai bagi membantu siasatan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan