Dua Beradik Didakwa Culik, Cederakan Lelaki Dalam Kejadian Di Puchong

28/07/2025 03:51 PM

SHAH ALAM, 28 Julai (Bernama) -- Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik dan mencederakan seorang lelaki, minggu lepas. 

V. Kirtik Ram, 19, dan V. Theshvinram, 18, didakwa secara bersama-sama telah melarikan seorang lelaki berusia 21 tahun dengan niat hendak mengurung dengan sulit dan salah. 

Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh secara bersama-sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap individu sama dengan cara memukul.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Permai, Bukit Puchong, Puchong dekat sini pada 6.38 petang, 22 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda serta Seksyen 323 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Akhilah Rosmi menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan manakala peguam Noor Farazidah memohon jaminan rendah terhadap kedua-dua anak guamnya yang masing-masing bekerja sebagai kelindan lori dan penghantar barangan. 

"Mereka menanggung seorang nenek dan adik-adik yang masih bersekolah. Mereka juga telah menyerah diri kepada pihak polis dan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa," kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dan RM2,000 masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua terhadap Kirtik Ram dan Theshvinram manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Sept ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan