KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian kes pecah masuk kediaman cucu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Bukit Ledang di sini Rabu lepas, yang mengakibatkan mangsa kerugian RM1.8 juta.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan ketika dihubungi Bernama memaklumkan pasukannya kini sedang giat menyiasat kes itu.
“Kita sedang siasat dan setakat semalam, masih belum dikenal pasti (suspek). Kita juga sedang meneliti kamera rakaman litar tertutup (cctv) di kediaman mangsa,” katanya.
Beliau semalam mengesahkan kepada media, sebuah kediaman milik cucu kepada bekas perdana menteri itu dipecah masuk mengakibatkan mangsa kehilangan barang kemas bernilai RM1.8 juta yang disimpan di dalam bilik di rumah berkenaan.
Difahamkan kejadian itu disedari oleh pembantu rumah pada 3 petang Rabu lepas selepas mendapati pintu pagar di bahagian belakang rumah dipotong dan biliknya dimasuki pencuri.
Dalam pada itu, Mohamed Usuf berkata polis menggunakan kaedah forensik bagi mendapatkan petunjuk baharu dalam siasatan kes berkenaan.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata rumah yang dimiliki Mizan Mahathir itu dihuni oleh cucu-cucu Dr Mahathir dan ketika kejadian hanya terdapat pembantu rumah dan penjaga sahaja.
“ ... memang ada kesan pecah dan kita sedang siasat. Siasatan sedang dijalankan termasuk penggunaan kaedah forensik bagi mendapatkan petunjuk baharu,” katanya.
Beliau berkata kerugian dianggarkan berjumlah RM1.8 juta melibatkan barangan kemas lama serta barangan peribadi milik penghuni rumah.
“Kebanyakan barangan yang hilang adalah barang kemas lama dan mungkin milik peribadi. Kita masih menilai keseluruhan jumlah dan jenis barangan yang terlibat,” katanya.
Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis untuk menyiapkan siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial