Pegawai JIM Johor Didakwa Terlibat Aktiviti Pengubahan Wang Haram Lebih RM700,000

24/07/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM718,710 antara 2022 hingga 2023.

Nas Suffian Nasrun, 41, didakwa terlibat secara langsung dalam transaksi wang itu daripada akaun bank seorang lelaki ke akaun bank sebuah syarikat menerusi 64 transaksi dalam talian antara 26 Julai 2022 hingga 9 Jun 2023 di sebuah cawangan bank di Pandan Indah di sini.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang haram atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa ia dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Aznika Mohd Anas menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.

"Tertuduh sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mahkamah terbabit telah mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran. Oleh itu, saya mohon mahkamah ini mengguna pakai syarat tambahan tersebut," katanya.

Selain itu, Aznika turut memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama lima pertuduhan lain.

Bagaimanapun peguam Muhammad Zaim Rosli yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 kerana anak guamnya yang berkhidmat sebagai penjawat awam selama 19 tahun mempunyai rekod kerja yang baik, tidak mempunyai masalah disiplin dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib.

"Tertuduh mempunyai potensi untuk dikenakan tindakan tahan kerja susulan pendakwaan terhadapnya. Selain itu, tertuduh yang berpendapatan RM5,000 sebulan perlu menanggung isteri serta lima anak berumur tujuh hingga 15 tahun,” kata peguam itu.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan mengguna pakai syarat tambahan yang dikenakan Mahkamah Sesyen Shah Alam selain membenarkan kes itu dipindahkan ke mahkamah terbabit.

Pada 22 Julai lepas, Nas Suffian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM933,295 antara 2022 hingga 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan