Polis Pantau Trend Vape Berisi Dadah Sintetik Libatkan Pelajar - Pengarah JSJN

24/07/2025 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sedang memantau trend penggunaan vape yang dikaitkan dengan dadah sintetik dalam kalangan pelajar sekolah berikutan kemungkinan kandungan bahan meragukan yang boleh mengancam keselamatan awam.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata walaupun kejadian terbabit adalah terpencil, namun tetap menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan pelajar.

Beliau berkata setakat ini analisis forensik oleh Jabatan Kimia tidak mendapati kewujudan dadah ‘magic mushroom’ dalam cecair vape hasil ujian terhadap bahan rampasan JSJN.

“Ia membuktikan bahawa dakwaan tular mengenai cendawan kering atau titisan cecair halusinogen semula jadi adalah tidak tepat, malah ia merupakan manipulasi oleh pengedar yang melabelkan bahan sintetik sebagai ‘cendawan ajaib’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata setakat ini, pihak berkuasa hanya mengesahkan kewujudan bahan sintetik dalam vape dan rokok elektronik dengan tiada bukti ditemukan mengenai penjualan cendawan kering sebenar atau campuran dadah dalam coklat dan gula-gula seperti yang digembar-gemburkan.

Beliau berkata 32 kes rampasan cecair vape telah dicatatkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 64 kes sepanjang 2024, sekali gus menunjukkan peningkatan purata bulanan yang ketara berbanding tahun sebelumnya.

“Hasil analisis Jabatan Kimia Malaysia terhadap data rampasan menunjukkan bahan terlarang utama yang dikesan ialah ganja sintetik seperti Mdmb-4en-Pinaca dan analognya.

“Terdapat juga kes pencampuran dadah stimulan seperti methamphetamine dan MDMA yang amat membimbangkan kerana memperkenalkan bentuk penyalahgunaan baharu melalui peranti elektronik itu,” katanya.

Beliau berkata majoriti kes mengesahkan kewujudan dadah terlarang yang membuktikan vape kini digunakan sebagai medium penghantaran dadah yang nyata dan perlu ditangani secara menyeluruh.

“Paling penting, masyarakat harus merujuk kepada maklumat sahih daripada sumber rasmi seperti kenyataan polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atau agensi kesihatan serta elak daripada menyebarkan berita tular tanpa pengesahan kerana ia boleh mencetuskan panik yang tidak berasas,” katanya.

Hussein berkata pendidikan berkaitan bahaya vape yang mengandungi bahan sintetik perlu dimasukkan dalam silibus pembelajaran selain pelaksanaan kempen kesedaran berterusan dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata ibu bapa juga perlu memantau aktiviti dan barangan anak-anak serta berbincang secara terbuka mengenai risiko penggunaan vape dan dadah terlarang.

Sementara itu, Hussein berkata JSJN turut menyokong saranan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini supaya larangan penjualan vape dikuatkuasakan di peringkat negeri sebagai langkah membendung penyalahgunaan peranti itu.

Beliau berkata kerajaan kini dalam usaha memperkemas mekanisme kawal selia terhadap produk vape, termasuk sistem pelesenan baharu yang lebih ketat dan ujian makmal terhadap kandungan cecair.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan