KUANTAN, 23 Julai (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat mengenai peletakan jawatan tiga pengarah syarikatnya, dua tahun lepas.
Datuk Azjuriyahti Azlan, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Wanita itu bersama Datuk Sri Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad, 46, didakwa membenarkan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maju Desa Industri (KMDI) Holding Sdn Bhd Hasnifalina Ramlee, membuat penyataan palsu dalam butiran material mengenai peletakan jawatan tiga individu sebagai pengarah syarikat tersebut.
Penyataan palsu itu membabitkan peletakan jawatan L. Sivakumar, Prof Madya Dr Mohd Zainizan Shahdan dan Shahkeer Azzat Zailan sebagai pengarah KMDI Holding Sdn Bhd melalui Borang Seksyen 58 dan kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma KMDI, Jalan Gambut di sini pada 20 Jun 2023.
Azjuriyahti didakwa mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Abdul Hadi Abdul Muti mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Muhammad Nazrin Mohd Seth yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan antara RM5,000 hingga RM8,000, atas alasan penjamin merupakan kontraktor dengan pendapatan yang tidak tetap.
Hakim Noor Aisah Mohamed kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dan menetapkan 28 Ogos untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Sementara itu pada prosiding sama, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nazrul Izad yang gagal hadir ke mahkamah hari ini, selepas permohonan dibuat pihak pendakwaan.
Muhammad Nazrin memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke hospital swasta akibat pelbagai masalah kesihatan dan telah menyerahkan surat kemasukan hospital kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Abdul Hadi berhujah bahawa surat hospital swasta tidak boleh diterima pakai dan tertuduh seharusnya mengemukakan sijil sakit daripada hospital atau klinik kerajaan.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan Mohd Nazrul Izad menyerahkan sijil sakit daripada hospital kerajaan dengan pengesahan Pegawai Perubatan Gred 41 ke atas pada tarikh sebutan sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial