SIBU, 17 Julai (Bernama) -- Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei (PKMB Sarikei) sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan yang kini berada di bawah jagaan Pelindung Kanak-kanak pejabat berkenaan.
Menurut jurucakap PKMB Sarikei, bayi tersebut diterima pihaknya selepas ditinggalkan di sebuah bilik sewa di tingkat atas bangunan kedai di Jalan Tuanku Osman di sini pada 10 April lepas dan dianggarkan berusia tiga bulan ketika ditemukan.
"Bayi itu ditemui oleh seorang wanita yang turut menyewa bilik di bangunan yang sama. Wanita tersebut kemudiannya menyerahkan bayi itu kepada pasangan suami isteri di Kabong yang juga merupakan kenalannya, untuk tujuan penjagaan sementara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pasangan tersebut kemudiannya membawa bayi berkenaan ke PKMB Sarikei bagi mendapatkan nasihat lanjut mengenai prosedur penjagaan dan pengambilan anak angkat.
"Pelindung Kanak-kanak perlu mengesan ibu kandung atau waris bayi perempuan ini bagi mendapatkan maklumat penting berkaitan urusan penempatan dan pendaftaran sijil kelahiran bayi berkenaan. Kes ini masih dalam siasatan di bawah Akta Kanak-kanak 2001," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai identiti atau lokasi ibu kandung bayi tersebut diminta supaya segera menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Atika atau Emy, di talian 084-651005 atau 084-644750.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial