Polis Port Dickson Lupus Barang Kes Bernilai Hampir RM1 Juta

17/07/2025 06:00 PM

PORT DICKSON, 17 Julai (Bernama) -- Polis Port Dickson melupuskan pelbagai barang kes melibatkan peralatan perjudian, mesin bitcoin, barangan elektrik serta rokok dan arak seludup bernilai RM999,300.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata pelupusan itu melibatkan 194 kertas siasatan yang telah selesai bagi tempoh 2020 hingga Julai 2025.

"Antara dilupuskan ialah 9,178 karton rokok, mesin mining bitcoin (18), sebuah komputer riba, penyambung elektrik serta pelbagai lagi peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta elektronik.

"Kesemua mesin bitcoin akan dilupuskan secara manual manakala rokok seludup akan dibakar melalui kebuk pembakaran," katanya kepada pemberita selepas melaksanakan pelupusan barang kes peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.

Beliau berkata proses itu dilaksanakan Syarikat Pandamaran Jaya Motor, Pelabuhan Klang yang telah dilantik menguruskan sisa pepejal di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selari dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Sementara itu, Maslan berkata hampir 400 anggota termasuk pegawai bersiap siaga bagi pelaksanaan Program Ukhwah Kepimpinan MADANI sempena Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen kerajaan yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sekitar Port Dickson pada Sabtu dan Ahad ini.

Beliau berkata pihaknya telah mengatur penugasan dari segi keselamatan melibatkan pelbagai pihak termasuk bantuan daripada Pasukan Gerakan Marin dan Pasukan Gerakan Udara.

"Tiada penutupan jalan dilakukan tetapi kita percaya akan berlaku kesesakan jalan di sini, penempatan petugas akan diatur bagi kawalan trafik di setiap lokasi ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan