Kerugian Akibat Kecurian Tenaga Oleh Perlombongan Bitcoin Cecah RM4.8 Bilion

17/07/2025 03:10 PM

ALOR SETAR, 17 Julai (Bernama) -- Aktiviti perlombongan bitcoin secara haram yang mencuri tenaga elektrik di negara ini telah menyebabkan kerugian mencecah RM4.8 bilion bagi tempoh antara 2018 hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air  Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata jumlah tersebut amat membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan berterusan bagi membendung kerugian yang lebih besar.

“Berdasarkan statistik sejak 2018, jumlah kerugian akibat kecurian tenaga oleh aktiviti perlombongan bitcoin secara haram adalah sebanyak RM4.8 bilion, satu angka yang amat besar.

“Oleh itu, kita perlu melipatgandakan usaha bagi mencegah kegiatan ini. Dari segi statistik pula, pada 2023 hingga 2024, sebanyak 2,399 kes direkodkan, manakala sehingga Jun tahun ini sahaja sudah mencapai 1,800 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi termasuk Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke atas tujuh premis yang disyaki mencuri tenaga elektrik untuk tujuan perlombongan bitcoin di sekitar bandar raya ini, hari ini.

Menurut beliau, peningkatan mendadak dalam kegiatan mencuri tenaga bagi melombong bitcoin dilihat selari dengan lonjakan harga mata wang kripto itu, yang kini mencecah lebih RM500,000.

“Keadaan ini menjadi cabaran besar kepada pihak penguat kuasa kerana pelaku semakin berani mengambil risiko demi mengaut keuntungan melalui perlombongan bitcoin secara haram,” katanya.

Mengulas mengenai operasi hari ini, Akmal berkata tujuh premis telah diserbu selepas disyaki melakukan kecurian tenaga elektrik, dengan serbuan dilakukan mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), menggunakan waran yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Beliau turut menyeru kerjasama orang awam untuk membantu membanteras kegiatan ini.

“Jika ternampak kabel ditarik secara haram tanpa melalui meter, laporkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan