Sindiket Sorok Dadah Dalam Dubur Haiwan Ternakan, Polis Giat Risikan

17/07/2025 02:47 PM

KOTA BHARU, 17 Julai (Bernama) -- Polis tidak menolak kemungkinan berlaku kegiatan penyeludupan dadah di negeri ini dengan menyembunyikan bahan larangan itu dalam dubur lembu dan kambing, selain menjadikan kandang ternakan berkenaan sebagai stor transit sebelum bekalan dihantar ke negeri lain.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya menerima maklumat risikan berhubung taktik baharu itu, namun setakat ini belum menemukan bukti kukuh.

“Kita ada terima informasi kemungkinan wujud kandang lembu dan kambing yang dijadikan transit untuk dadah. Sekarang ini kita sedang pantau dan buat risikan termasuk dengan bantuan agensi penguatkuasaan lain,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Beliau turut mendedahkan terdapat dakwaan pemilik kandang tertentu sengaja tidak memberi makan dan minum kepada lembu sepanjang tempoh kuarantin dua minggu.

“Saya dapat maklumat tujuannya mungkin untuk elak lembu buang najis (kerana dadah disorok dalam dubur) supaya najis tidak keluar, yang boleh jadi petunjuk kepada kita. Kami dapat maklumat itu tetapi belum dapat buktikan secara fizikal,” katanya.

Mohd Yusoff berkata aktiviti penyeludupan ternakan dari negara jiran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sah dengan permit dan melalui proses kuarantin manakala secara haram pula tiada permit, tiada kandang dan terus dibawa masuk melalui sungai atau laluan tikus.

Beliau berkata kawasan panas bagi aktiviti penyeludupan lembu dan dadah biasanya tertumpu di sekitar Pasir Mas hingga Tanah Merah kerana sungai di kawasan itu sempit dan cetek, memudahkan sindiket menyeberang.

“Polis Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin dan tentera sentiasa memperketat kawalan di sepanjang 136 kilometer sempadan dengan Thailand, selain berkongsi maklumat secara aktif dengan pihak berkuasa negara jiran.

“Kita tidak biar sempadan terbuka. Kita ada benteng, rondaan dan kerjasama dengan pihak Thailand untuk memastikan dadah tidak tembus ke negara kita,” katanya.

Mohd Yusoff mengakui negeri itu masih menjadi lokasi transit utama bagi sindiket dadah yang menyeludup bekalan dari negara jiran sebelum diedarkan ke negeri lain dan luar negara.

Beliau berkata kebanyakan dadah seperti syabu, ganja dan heroin tidak popular untuk kegunaan tempatan, sebaliknya diseludup masuk melalui sempadan Kelantan untuk dihantar ke pantai barat Semenanjung, termasuk Kuala Lumpur, atau ke negara lain.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan