MUAR, 16 Julai (Bernama) -- Polis akan melakukan siasatan menyeluruh dari pelbagai aspek susulan kehilangan seorang lelaki setelah kereta dipandunya terjunam ke dalam Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong, di sini Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang turut dikenali sebagai Ija masih dijalankan dan tiada sebarang petunjuk ditemukan setakat 5 petang tadi.
Beliau berkata operasi yang memasuki hari kedua diperluas menerusi penggunaan dron bomba selain Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Johor turut terlibat dan polis juga melakukan pencarian dengan berjalan kaki sejauh dua kilometer melibatkan kawasan anak sungai, kampung dan jeti berhampiran.
“Buat masa ini, kita telah mengambil keterangan isteri dan adik mangsa. Masih tiada sebarang petunjuk baharu selain hanya menemukan selipar dan topi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Raiz Mukhliz berkata pihaknya juga memaklumkan telefon bimbit Tengku Nizaruddin masih tidak ditemukan serta melalui semakan talian, ia telah ditutup sejak hari mangsa dikatakan hilang.
“Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi memberikan ruang kepada polis untuk melakukan siasatan yang ketika ini lebih kepada orang hilang,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan seorang pempengaruh permotoran yang dikenali sebagai Ija dilaporkan hilang selepas kereta jenis Perodua Axia dipandunya terjunam dalam sungai berkenaan namun mangsa tidak ditemukan dalam kenderaannya itu.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial