BUTTERWORTH, 15 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu dua kilang kitar semula sisa elektronik (e-sisa) yang disyaki merasuah penguat kuasa sehingga menyebabkan kerugian hasil cukai.
Serbuan serentak pada 9 pagi itu melibatkan sebuah kilang Jalan Perusahaan Perai 3, Kawasan Perusahaan Perai, dan di Bukit Minyak, Bukit Mertajam di sini.
Serbuan itu juga susulan pembongkaran sindiket seludup besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus seperti ditetapkan kerajaan.
Op Metal yang masuk hari kedua itu dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Pasukan Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) mengawal keseluruhan premis itu dan mengumpul kira-kira 25 pekerja tempatan serta warga asing yang bekerja di situ bagi dokumentasi.
Seorang lelaki berusia 50-an dipercayai ketua pegawai operasi kilang itu turut diperiksa dan dibawa masuk ke dalam pejabat di premis berkenaan untuk mendapatkan dokumen berkaitan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan SPRM turut membuat penggeledahan di 13 lokasi baharu di Pulau Pinang, Kedah, Johor dan sekitar Lembah Klang hari ini susulan operasi semalam.
"SPRM kini sedang mengenal pasti pihak-pihak yang bersekongkol dengan sindiket ini yang menyeludup keluar besi serta bahan buangan e-sisa melalui Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan berjumlah lebih RM950 juta sejak enam tahun lepas," katanya.
Terdahulu, Bernama melaporkan SPRM menggempur sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta.
Ia melibatkan tujuh serbuan di Selangor, enam serbuan di Pulau Pinang, empat di Kedah dan masing-masing satu di Negeri Sembilan serta Johor itu melibatkan pusat menyimpan dan memproses besi buruk, pejabat serta kediaman individu-individu disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial