KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Polis mengesahkan menerima laporan berhubung akaun TikTok menggunakan nama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang disyaki palsu dengan penggunaan teknik kecerdasan buatan (AI).
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus berkata akaun TikTok yang menawarkan bantuan kewangan bagi tujuan tertentu itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran bantuan kewangan melalui media sosial dan sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Polis memberi amaran tegas bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam pelanggaran undang-undang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini meminta orang ramai berwaspada terhadap kewujudan akaun palsu di TikTok yang menyalahgunakan nama dan gambar Saifuddin Nasution untuk tujuan penipuan.
Pejabat Menteri berkenaan turut memaklumkan telah membuat laporan kepada polis dan pihak TikTok berhubung perkara itu.
Setakat ini, tiga akaun palsu telah disekat oleh TikTok iaitu Saifuddin_Nasution0, Saifuddin_Nasution1 dan Saifuddin_Nasution12.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial