IPOH, 12 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang dekat Tapah hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemukan dalam keadaan terbaring oleh orang awam di lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.48 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 38 kilometer.
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan.
Sabarodzi berkata operasi tamat sepenuhnya pada 4 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya berkata hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan serius pada tubuh mangsa kecuali calar pada bahu kiri serta peha disyaki kesan jatuh ke tebing gaung.
“Mayat mangsa telah dibawa naik dari tebing setinggi 15 meter menerusi bantuan lapan orang anggota bomba," katanya dalam kenyataan malam ini.
Johari berkata mayat lelaki itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh bagi proses bedah siasat yang akan dijalankan 9 pagi esok dan sebarang perkembangan kes akan dimaklumkan selepas proses berkenaan selesai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial