Remaja Hilang Di Sungai Kuantan Ditemukan Lemas

09/07/2025 04:10 PM

KUANTAN, 9 Julai (Bernama) -- Remaja lelaki berusia 15 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuantan semalam ditemukan lemas, tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud berkata mayat Mohamad Isyraf Danish Razmi ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 12.40 tengah hari, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan tergelincir.

“Penemuan ini hasil kerjasama erat pelbagai agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Marin serta bantuan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

Terdahulu, mangsa dikatakan tergelincir ke sungai ketika cuba menarik tali pancing yang tersekat sebelum hilang dari pandangan tiga rakannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan