Tempoh Pelantikan Badan Kehakiman Tertakluk Kepada Tatacara Di Bawah Perlembagaan - AGC

08/07/2025 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menjelaskan tempoh masa dan proses memuktamadkan pelantikan, khususnya bagi jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan tertakluk kepada tatacara ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

AGC dalam kenyataan memaklumkan proses berkenaan hendaklah mengambil kira segala aspek termasuk keperluan berunding dan penjalanan kuasa budi bicara mengikut kerangka perlembagaan sedia ada.

Jabatan itu menyatakan pihaknya dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lepas dan pelantikan itu masih perlu melalui beberapa formaliti.

"Pelantikan itu wajar dilakukan dengan tertib dan teratur. Dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. 

"Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar 'konduit' yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman," menurut AGC.

Kenyataan AGC itu merujuk kepada kenyataan media oleh Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli bersama beberapa Ahli Parlimen yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung pelantikan dalam badan kehakiman, termasuk jawatan tertinggi dalam institusi berkenaan.

Jabatan itu juga mengiktiraf kepentingan keyakinan rakyat dalam proses pemilihan kehakiman dan menegaskan prinsip kebebasan badan kehakiman sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Pelantikan hakim mahkamah atasan telah diperuntukkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan hakim hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. 

"Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] merupakan undang-undang yang memperincikan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong terletak secara eksklusif kepada Perdana Menteri," menurut AGC.

Berhubung dengan kenyataan bahawa mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dipanggil tanpa notis yang mencukupi menurut Seksyen 13(2) Akta 695, AGC menjelaskan bahawa JAC boleh mengawal selia prosedurnya sendiri.

 "Apabila terdapat keadaan mendesak, pada lazimnya pihak berkuasa boleh meneruskan mesyuarat dengan notis yang pendek sekiranya terdapat persetujuan semua anggota. Perkara bersifat prosedural tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau prejudis yang jelas," menurut kenyataan itu.

AGC menegaskan tuduhan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah serta penugasan semula hakim ialah dakwaan yang serius. 

"Bagaimanapun, pertimbangan dalam mesyuarat JAC berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang. Tuduhan terbabit tidak boleh disamakan dengan salah laku yang telah pun dibuktikan atau menjejaskan kebebasan kehakiman dan ia kekal sebagai dakwaan pramatang serta bersifat spekulatif semata-mata," menurut kenyataan itu.

Jabatan berkenaan menyatakan perbandingan dengan kes VK Lingam pada 2007 ialah suatu perkara yang tidak wajar pada peringkat ini. 

"Kes terbabit melibatkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan pada ketika itu. Keadaan itu berbeza dengan senario semasa yang tuduhan atau dakwaan hanya bersandarkan kepada ketidakaturan daripada aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti kukuh," menurut AGC.

AGC memaklumkan Parlimen sentiasa boleh meneliti hal tatakelola institusi melalui penubuhan jawatankuasa di bawahnya, namun hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara cermat supaya penjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik. 

"Kedua-dua institusi ini hendaklah menjalankan kuasa secara bebas sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Jabatan ini akan sentiasa menasihati kerajaan dalam urusan pentadbiran keadilan, sekiranya terdapat keterangan yang berasas.

"Dalam ketiadaan keterangan sedemikian, semua pihak yang diberi kuasa menurut undang-undang perlu diberi ruang untuk melunaskan tanggungjawab mereka tanpa sebarang tekanan, spekulasi atau kempen awam," menurut kenyataan itu.

AGC menegaskan situasi pada masa ini hendaklah diawasi dan diharap tiada pihak yang akan bertindak terburu-buru. Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan suatu krisis perlembagaan. 

"Sistem pelantikan perlu dilaksanakan melalui prosedur yang sah, menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Semua pihak hendaklah sentiasa bertanggungjawab untuk menegakkan keluhuran undang-undang dan prinsip pemisahan kuasa. Tanggungjawab itu boleh dilaksanakan sebaik-baiknya dengan memperkukuh kematangan institusi dan bukan dengan hanya membuat spekulasi yang tidak berasas," menurut AGC.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan