PUTRAJAYA, 4 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan menetapkan 10 Sept sebagai tarikh keputusan berhubung rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli menetapkan tarikh tersebut semasa pengurusan kes hari ini.
Pada 25 Jun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin telah menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh berkenaan.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohamed Zaini Mazlan, yang kini dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, menolak permohonannya agar hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.
Rosmah memfailkan permohonan supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri pada saat akhir, iaitu sebelum beliau dijadual menyampaikan keputusan pada 1 Sept 2022. Permohonan itu dibuat berasaskan dakwaan bahawa draf penghakiman dalam kes berkenaan telah bocor dan disediakan oleh pihak ketiga sebelum dibacakan secara rasmi.
Pada hari yang sama, Hakim Mohamed Zaini mensabitkan Rosmah, 73, atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta, atau 30 tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.
Bagaimanapun, Rosmah diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta, serta dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial