KOTA BHARU, 3 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang pengarah di jabatan kerajaan pusat di Kelantan dalam masa terdekat atas dakwaan salah guna kuasa, rasuah dan tuntutan palsu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pengarah berkenaan yang hampir bersara itu akan didakwa dalam tempoh terdekat selepas timbalan pendakwa raya bersetuju dengan cadangan pertuduhan yang dikemukakan oleh SPRM Kelantan.
“Saya tidak mahu sebut namanya tetapi ia akan diumumkan dalam masa terdekat. Pegawai kanan perkhidmatan awam itu mungkin akan dituduh dalam tempoh dua atau tiga minggu daripada sekarang atau mungkin lebih cepat lagi. Kita akan maklumkan kemudian.
“Ini merupakan usaha berterusan SPRM Kelantan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk melihat kepada isu-isu melibatkan ketirisan. Ini merupakan strategi SPRM sebelum ini yang pernah saya umumkan, di mana kita melihat isu ketirisan dalam negara menjadi fokus kami untuk menyelesaikan isu-isu rasuah sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah SPRM Kelantan yang baharu Azmin Yusoff dan penyandang sebelum ini, Rosli Husain, di sini, hari ini.
Azam berkata sejak beliau bertugas di Kelantan pada 1989 hingga 2000, banyak perubahan telah berlaku dan pendekatan baharu diperlukan dalam operasi, pencegahan mahupun pendidikan masyarakat.
“Sebarang tindakan mestilah mendatangkan kesan kepada masyarakat supaya mereka merasai tindakan SPRM. Kalau kita masih di takuk lama dalam menyelesaikan isu rasuah dan salah guna kuasa di peringkat nasional atau negeri, ia tidak akan berubah. Jadi untuk buat orang awam merasai tindakan kita, kita mesti berfokus.
“…Dengan adanya pegawai dan barisan yang cekap, berpengalaman serta berkemahiran tinggi maka strategi ini akan dapat dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata jawatan pengarah yang bakal didakwa itu melibatkan pegawai tinggi sekali gus perlu dijadikan iktibar.
“Kalau pengarah sendiri terlibat dalam isu jenayah, sudah tentu dia tidak boleh memimpin dan ini perkara yang perlu kita tekankan dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Azam menegaskan siasatan kes itu telah selesai dan pihaknya akan mengumumkan kejayaan tersebut dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial