KAPIT, 1 Julai (Bernama) -- Polis mengesahkan insiden tular membabitkan seorang remaja orang kurang upaya (OKU) yang dipukul sekumpulan remaja di Sungai Asap, Belaga baru-baru ini telah diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak.
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Jimbai Bala berkata kejadian itu mula mendapat perhatian selepas satu rakaman video dan gambar memaparkan seorang remaja lelaki dipukul dimuat naik di laman Facebook pada 28 Jun.
“Pada hari yang sama, polis berjaya mengenal pasti kesemua lima remaja lelaki berusia antara 16 hingga 17 tahun yang disyaki terlibat dalam kes itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang berusia 16 tahun kemudian hadir bersama bapa kandungnya ke Pondok Polis Sungai Asap pada 29 Jun dan telah bertemu dengan kesemua suspek serta ahli keluarga mereka.
“Siasatan awal mendapati kejadian sebenar berlaku pada 10 Jun kerana mangsa didakwa pernah mengganggu sepupu seorang daripada suspek. Hasil perjumpaan antara keluarga kedua-dua pihak kemudian telah mencapai kata sepakat dan menyelesaikan perkara itu secara damai,” katanya.
Jimbai berkata bapa mangsa turut membuat laporan polis bagi mengesahkan mengetahui kejadian berkenaan dan bersetuju untuk tidak mengambil tindakan lanjut setelah perkara itu diselesaikan secara baik.
“Lelaki itu turut memohon agar semua pihak tidak lagi menyebarkan video atau gambar anaknya di media sosial demi menjaga maruah serta privasi keluarga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial