PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap rayuan Peguam Negara berhubung kewujudan satu dokumen tambahan yang didakwa membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya dalam tahanan di rumah.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dalam keputusan sebulat suara, memutuskan bahawa tujuh persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Peguam Negara boleh diadili dan disemak oleh mahkamah.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Panel berkenaan kemudian menetapkan esok untuk mendengar rayuan Peguam Negara.
Pada 28 April lepas, Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk meneruskan rayuan berhubung dokumen tambahan itu.
Hakim Hasnah berkata tiga soalan pertama yang dikemukakan oleh Peguam Negara berkaitan pengemukaan keterangan baharu merupakan isu undang-undang baharu yang memerlukan pertimbangan lanjut oleh mahkamah.
Bagi soalan keempat hingga keenam, beliau berkata soalan tersebut menyentuh peranan Peguam Negara, khususnya berhubung kegagalan memfailkan afidavit jawapan semasa peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman.
Menurut Hakim Hasnah lagi, pihak responden (Najib) turut menghujahkan bahawa soalan keempat hingga keenam adalah percubaan oleh pihak Peguam Negara untuk mengelak daripada memenuhi kewajipan pendedahan penuh (duty of candour) yang dikenakan terhadap pihak berkuasa awam atau Peguam Negara semasa prosiding semakan kehakiman.
“Kami ingin meneliti sama ada kewajipan tersebut boleh dikenakan terhadap Peguam Negara pada peringkat baharu prosiding semakan kehakiman. Soalan ketujuh pula berkaitan kebolehadilan kehakiman (justiciability) yang telah disentuh oleh Mahkamah Tinggi.
“Isu yang timbul adalah sama ada perkara pokok, iaitu dokumen tambahan tersebut, merupakan perkara yang boleh diadili oleh mahkamah ini. Soalan ini berkaitan dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, kami berpendapat bahawa kesemua soalan yang dibangkitkan oleh pihak Peguam Negara bukan bersifat akademik atau hipotesis semata-mata,” katanya.
Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mewakili pihak Peguam Negara.
Pada 6 Jan lepas, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan yang kononnya membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, untuk didengar di Mahkamah Tinggi berdasarkan merit.
Keputusan ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terdahulu, yang telah menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berkaitan dokumen tambahan yang didakwa tersebut.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Pada Februari tahun lepas, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial