PUTRAJAYA 1 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas bekas pakar patologi yang disabit dengan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais pada 2015.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini mengesahkan sabitan membunuh terhadap Kol Dr R.Kunaseegaran, 62, S.Nimalan, 31 dan S.Ravi Chandran, 53.
Bagaimanapun Nimalan dan Ravi Chandran terlepas daripada hukuman gantung selepas mahkamah meringankan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap mereka, kepada hukuman penjara seumur hidup.
Nimalan dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dengan 12 sebatan manakala Ravi Chandran yang dijatuhi hukuman penjara 40 tahun, tidak dikenakan hukuman sebat kerana dia berusia lebih 50 tahun.
Hakim Tengku Maimun berkata hukuman mati Kunaseegaran kekal kerana beliau telah menarik balik rayuannya terhadap hukuman itu.
Sementara itu panel yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang, melepas dan membebaskan tiga individu lain iaitu R.Dinishwaran, 32, A.K.Thinesh Kumar, 31, M. Vishwanath, 34, daripada pertuduhan.
Dalam menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Abang Iskandar berkata mahkamah berpuas hati bahawa sabitan terhadap Kunaseegaran, Nimalan dan Ravi adalah selamat, dan rayuan mereka terhadap sabitan itu ditolak.
Bagaimanapun, mengenai tiga lagi perayu, beliau berkata tiada bukti yang mencukupi untuk mengekalkan sabitan membunuh mereka.
"Kami membenarkan rayuan mereka dan dengan ini mengenepikan sabitan mereka kerana membunuh," katanya.
Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan keenam-kenam lelaki itu dengan kesalahan membunuh Morais di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 Sept 2015.
Rayuan mereka ditolak Mahkamah Rayuan pada 14 Mac tahun lepas.
Morais yang dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015, kali terakhir dilihat meninggalkan kondominiumnya dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Mayat Morais ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 Sept tahun yang sama.
Dalam perbicaraan hari ini, peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili Kunaseegaran memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah mengarahkannya untuk menarik balik rayuannya terhadap hukuman mati; manakala peguam Nimalan, Datuk Amer Hamzah Arshad dan peguam Ravi Chandran, Kitson Foong yang mewakili Ravi Chandran; menggesa mahkamah menggantikan hukuman mati kepada hukuman penjara seumur hidup.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari pula mendesak supaya hukuman mati dikekalkan berikutan jenayah kejam yang dilakukan terhadap seorang penjawat awam.
Selepas mahkamah menyampaikan keputusan itu, semua peguam yang hadir menyampaikan ucapan penghargaan mereka kepada Tengku Maimun dan Abang Iskandar, yang kedua-duanya akan bersara.
Sebagai respons Tengku Maimun turut melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam bidang undang-undang negara, terhadap sokongan dan sumbangan mereka.
Tengku Maimun dijadualkan bersara esok, manakala Abang Iskandar akan bersara pada Rabu.
Dalam perbicaraan hari ini, peguam Jasmine Cheong turut mewakili Kunaseegaran, manakala peguam lain ialah Y. Sheelan Shamuagam mewakili Dinishwaran; Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar), Afifuddin (Vishwanath), Amer Hamzah (Nimalan), dan Kitson Foong (Ravi Chandran).
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Abdul Karim, Mohd Fairuz Johari dan Mohd Fuad Abdul Aziz pula mewakili pihak pendakwaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial