Rasuah Lesen Cari Gali: Dua ADUN, Seorang Ahli Perniagaan Akan Didakwa Hari Ini

30/06/2025 09:45 AM

KOTA KINABALU, 30 Jun (Bernama) -- Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang ahli perniagaan akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri ini.

Kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, iaitu memberikan wang rasuah dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana menerima wang rasuah.

Pada 18 Jun lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan seorang ADUN dan seorang ahli perniagaan kerana disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di Sabah.

Menurut sumber, ADUN berumur 60-an dan ahli perniagaan berumur 30-an itu dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2023 dan 2024.

Pada 23 Jun lepas, Azam turut mengesahkan penahanan seorang lagi ADUN kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM150,000 atas skandal yang sama.

Sumber memaklumkan ADUN berumur 40-an yang juga seorang Pembantu Menteri kerajaan negeri dipercayai melakukan perbuatan terbabit pada 2023 dan 2024.

Ahli perniagaan itu telah dilepaskan dengan jaminan RM100,000 berserta dua penjamin setelah selesai memberikan keterangan manakala kedua-dua ADUN itu turut dilepaskan selepas keterangan diambil, masing-masing dengan jaminan RM50,000 berserta seorang penjamin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan