KUALA TERENGGANU, 28 Jun (Bernama) -- Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Besut yang ditahan petang semalam direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes buli pelajar di sekolah berkenaan.
Perintah reman terhadap kedua-dua remaja berusia 15 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret di sini, untuk siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dijalankan.
Kedua-dua pelajar berkenaan ditahan 4 petang semalam selepas hadir bersama keluarga ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, lima pelajar di sekolah sama berusia 15 hingga 17 tahun yang dipercayai turut terlibat dengan kes buli, ditahan reman hingga esok.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu sebelum ini berkata setakat ini dua pelajar lelaki Tingkatan Dua di MRSM Besut mendakwa menjadi mangsa buli beberapa pelajar senior di asrama pada 11.30 malam Selasa lepas.
Seorang daripada mangsa mendakwa telah dipaksa untuk duduk dalam keadaan separa mencangkung, diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar sehingga menyebabkan mangsa mengalami sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial