KUALA TERENGGANU, 26 Jun (Bernama) -- Operasi mencari seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Kuala Terengganu pada Selasa diteruskan hari ini dengan bantuan helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) AW 139.
Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) mangsa Mohd Noor Abdullah, 54, pada hari kedua dimulakan kira-kira 7 pagi tadi dengan kekuatan 16 anggota penyelamat termasuk menggunakan bot Penggalang 45 selain pasukan udara.
Beliau berkata usaha pencarian dijalankan di kawasan seluas 208.15 batu nautika di perairan Pulau Bidong, Kuala Nerus.
"Maritim Malaysia telah menubuhkan pangkalan hadapan di Jeti Tok Jembal bagi menyelaras gerakan pencarian serta menerima sebarang maklumat daripada komuniti setempat secara terus.
"Kawasan pencarian diperluas hari ini di sekitar Pulau Bidong yang sering menjadi lokasi tumpuan Mohd Noor menjalankan aktiviti menangkap ikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Noor dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas keluar menangkap ikan kira-kira 2 petang, Selasa lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial