Polis Tumpas Rangkaian Edar Ganja Dengan Penahanan Tiga Lelaki

24/06/2025 11:25 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Polis menumpaskan satu rangkaian pengedaran dadah jenis ganja dengan penahanan tiga lelaki di Sungai Buloh dan Bukit Beruntung, Selangor, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata kesemua yang berusia 28 hingga 42 tahun itu aktif melakukan kegiatan berkenaan di kawasan Sungai Buloh dan Hulu Selangor.

“Seorang daripada lelaki itu ditahan di Kampung Baru Subang, Sungai Buloh dan hasil soal siasat terhadapnya, polis menahan dua lagi lelaki di Bukit Beruntung.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan antara RM30,000 hingga RM40,000 di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata modus operandi rangkaian itu ialah dengan membuat pesanan ganja daripada negara jiran yang akan dihantar melalui syarikat kurier tempatan sebelum dipasarkan di kawasan Lembah Klang.

Mohd Hafiz berkata selain rampasan ganja seberat kira-kira 1,006.5 gram, polis turut merampas 40.93 gram heroin, pil yaba (57.56 gram), pil ekstasi (3.32 gram) dan syabu (0.82 gram).

Ketiga-tiga lelaki itu direman lima hingga tujuh hari bermula 20 hingga 26 Jun ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan