KANGAR, 24 Jun (Bernama) -- Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menganiayai anak perempuan mereka sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal, minggu lepas.
Kedua-dua tertuduh berumur 37 tahun itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap kanak-kanak berusia 10 tahun lapan bulan di sebuah rumah di Taman Desa Saujana, Arau kira-kira 12.15 tengah hari pada 18 Jun.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membenarkan pasangan itu diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warganegara berserta syarat tambahan, iaitu perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada 1 hari bulan setiap bulan serta tidak dibenarkan mendekati dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad manakala suami isteri itu diwakili peguam S. Devendran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial