PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Ketua Polis Negara (KPN) baharu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang kegiatan politik sepanjang hampir empat dekad perkhidmatannya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Selama 38 tahun saya bersama pasukan PDRM, saya tidak pernah terlibat dalam mana-mana parti politik," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Berhubung kesilapan penerbitan infografik mengaitkannya dengan parti politik sebelum ini, Mohd Khalid berkata perkara itu diterima dengan hati terbuka memandangkan media terbabit telah meminta untuk bertemu beliau.
"Insya-Allah saya akan bertemu dengan mereka dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan media berkenaan, mendengar pandangan dan memberi idea mengenai perkara perlu dilaksanakan pada masa akan datang.
Sementara itu, Mohd Khalid turut meminta semua pengamal media supaya memberikan laporan terbaik dan sempurna serta tidak lari daripada perkara yang sepatutnya dilaporkan.
"Saya berharap hubungan rapat perlu diteruskan antara polis dan wartawan kerana ia menjadi pokok utama untuk kita memberikan laporan terbaik bukan sahaja kepada PDRM tetapi bagi semua agensi kerajaan dan juga Kerajaan MADANI," katanya.
Pada 21 Jun lepas, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Fuziah Salleh dilaporkan berkata Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli PKR, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial