Dua Lelaki Ditahan Disyaki Pecah Rumah, Curi Kereta

23/06/2025 12:36 PM

SERDANG, 23 Jun (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Seri Kembangan di sini, yang menyebabkan kerugian kira-kira RM42,200 pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata kedua-dua suspek berusia 38 dan 44 tahun yang dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada 8 Jun itu ditahan reman sejak Khamis lepas sehingga hari ini, dan pihaknya kini sedang memohon untuk menyambung reman bagi siasatan lanjut.

“Pada 7 Jun, mangsa mendakwa meninggalkan rumah dalam keadaan berkunci, namun pada esoknya beliau mendapati bahagian pagar hadapan rumah itu sedikit terbuka dan mangga pintu utama telah diumpil serta jeriji besi pintu kanan dicabut. Keadaan rumah didapati sudah berselerak.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kereta Proton Persona, kunci kereta dan rumah, wang tunai dianggarkan RM7,000, tiga beg Coach, dua komputer riba Acer, dua iPad, empat telefon pintar pelbagai jenama, seutas jam tangan, dokumen peribadi, cermin mata dan emas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM42,200 telah hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Muhamad Farid berkata hasil semakan rekod lampau menunjukkan kedua-dua suspek mempunyai 41 rekod lampau jenayah dan narkotik secara keseluruhan, manakala saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan