SIBU, 22 Jun (Bernama) -- Polis melancarkan Operasi Kesan bagi menjejaki seorang tahanan warga Indonesia yang meloloskan diri dari lokap Balai Polis Sentral Sibu semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata kejadian berlaku kira-kira 4 petang semasa tahanan dikenali sebagai Buni, 25, masih berada dalam jagaan sah pihak polis.
“Suspek adalah tahanan reman bagi siasatan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol. Ketika melarikan diri, suspek masih memakai pakaian lokap berwarna ungu dan bergari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Mingat Bakil di talian 084-344 111 atau 019-886 7978 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Kami menyeru kerjasama masyarakat agar segera menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu siasatan dan penangkapan semula tahanan ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial