Kebakaran Stor Minyak Enjin: Operasi Pemadaman Division 1 Selesai

22/06/2025 03:15 PM

JOHOR BAHRU, 22 Jun (Bernama) -- Operasi pemadaman di Division 1 susulan kebakaran stor penyimpanan lori dan minyak enjin di Jalan Cenderai, Taman Kota Puteri, Masai di sini selesai 4 pagi tadi.

Komander Operasi Kanan Ketua Zon 1 Johor Penguasa Kanan Bomba I Zaipulbahri Mat Rusok bagaimanapun berkata kerja pemadaman di Division 2 masih diteruskan kerana menghadapi kesukaran berikutan halangan tong minyak yang besar dan banyak.

“Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran 700 kaki, tiga pancutan air pili bomba pam jentera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi pemadaman masih diteruskan hari ini.

Sementara itu, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) yang digerakkan ke lokasi kejadian sekitar 11.40 malam tadi telah mengesan sedikit kandungan sulfur di udara.

Bagaimanapun, bacaan itu tidak tinggi berdasarkan pemantauan yang dibuat menggunakan detector gasmet Fourier Transform Infrared (FTR) dan sampel bahan yang diambil di lokasi kejadian.

"Penggunaan peralatan perlindungan peribadi (PPE) (anggota bertugas) termasuk penutup hidung dan mulut atau respirator masih perlu digunakan," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata hasil ujian sampel masih dalam proses untuk dikenal pasti.

Semalam Timbalan Ketua Zon I Penguasa Kanan Bomba Il Rosfarawadi Ismani Ismail dilapor berkata sebanyak lima premis terbakar dalam kejadian melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi itu termasuk 15 kenderaan turut musnah.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.54 tengah hari dan seramai 34 anggota dan aset dari beberapa balai bomba termasuk pasukan sukarela dihantar ke lokasi kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan