Kebakaran Stor Minyak Enjin: JAS Kesan Ammonia Tahap Tidak Berbahaya

22/06/2025 10:03 AM

JOHOR BAHRU, 22 Jun (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesan ammonia di pos kawalan bomba semasa operasi memadam kebakaran stor penyimpanan lori dan minyak enjin di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri, Masai, dijalankan di sini semalam.

Pengarah JAS Johor Dr Mohd Famey Yusoff bagaimanapun berkata berdasarkan pemantauan yang dilakukan pihaknya bermula pada 8 malam tadi, bacaan ammonia itu didapati tidak mencapai tahap Acute Exposure Guideline Level (AEGL)-2. 

Beliau berkata AEGL-2 ialah kepekatan di udara yang boleh menyebabkan kesan buruk kesihatan jangka panjang yang tidak dapat dipulikan atau lain-lain atau gangguan keupayaan untuk melepaskan diri.

"(Bacaan) belum tahap bahaya … bacaan berkenaan (dikesan) tinggi sedikit semasa kebakaran belum dipadamkan. Kemungkinan bacaan hari ini akan rendah," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemantauan turut dilakukan di kawasan sekitar termasuk Sekolah Kebangsaan Seri Kota Puteri sekali gus menjelaskan tiada bacaan Volatile Organic Compound (VOC) dikesan di semua lokasi terlibat.

Justeru, beliau berkata pada umumnya, kualiti udara di kawasan kebakaran dan sekitarnya adalah pada tahap yang tidak membimbangkan serta tiada bahan pencemaran berbahaya dikesan.

Mohd Famey berkata pemantauan kualiti udara akan diteruskan hari ini.

Timbalan Ketua Zon I Penguasa Kanan Bomba Il Rosfarawadi Ismani Ismail dilaporkan berkata sebanyak lima premis terbakar dalam kejadian melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi itu termasuk 15 kenderaan turut musnah.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.54 tengah hari dan sebanyak 34 anggota dan aset dari beberapa balai bomba termasuk pasukan sukarela dikejarkan ke lokasi kejadian.

Setakat 6.30 petang semalam, tinjauan Bernama mendapati kira-kira 20 keluarga yang tinggal di sekitar Taman Megah Ria, berhampiran lokasi kebakaran, telah diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing buat sementara waktu sehingga operasi pemadaman selesai sepenuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan