Penghantar Makanan Dipenjara Setahun, Sebat Subahat Tipu Pinjaman Telefon Bimbit

20/06/2025 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan satu sebatan terhadap seorang penghantar makanan selepas mengaku bersalah bersubahat menipu seorang wanita berhubung permohonan pinjaman bagi mendapatkan sebuah telefon bimbit, empat bulan lepas.

Majistret Illi Marisqa Khalizan memerintahkan Salman Abdullah, 31, menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Salman didakwa bersubahat dengan seorang wanita berumur 32 tahun untuk menipu seorang pegawai penilaian kredit supaya meluluskan permohonan pinjaman bernilai RM8,329 bagi mendapatkan sebuah telefon bimbit daripada sebuah syarikat pengedar dengan cara mengemukakan slip gaji syarikat yang tidak wujud serta menggunakan kad pengenalan Malaysia palsu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat beli-belah pada 1 Feb lepas mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri memohon hukuman setimpal untuk memberikan pengajaran kepada lelaki itu manakala peguam Edwin Tomas daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, memohon hukuman penjara singkat kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara empat anak yang masih kecil.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan