GEORGE TOWN, 17 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama lima kru warga Myanmar kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 21 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat sini hari ini.
Pengarahnya Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata vesel peronda APMM sedang melakukan rutin rondaan dan penguatkuasaan sebelum memeriksa bot nelayan itu yang sedang bergerak di sekitar posisi berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh lima kru warga Myanmar termasuk tekong yang kesemuanya berumur 25 hingga 45 tahun, dua daripada lima lelaki tersebut gagal mengemukakan permit kerja.
"Semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu tiada kebenaran menggunakan kru warga asing daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit bekerja di atas bot itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bot nelayan bersama hasil tangkapan sebanyak 30 kilogram ikan baja turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial