PASIR MAS, 11 Jun (Bernama) -- Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memiliki pistol dan peluru tanpa lesen yang sah bulan lepas.
Mohd Zamri Mustafa, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Glock 19 di sebuah rumah di Jalan Meranti, di sini pada 8.30 malam, 29 Mei lepas dan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pada tarikh, lokasi dan masa yang sama, dia didakwa memiliki 47 butir peluru tanpa lesen antaranya jenis A USA 9mm Luger, FC 9mm Luger, AP 14 9mm Luger , PMC 9mm Luger dan S3 9mm Luger.
Penganggur itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na'ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Zulkipli Abdullah tidak membenarkan jaminan kerana kes itu bersabit senjata api dan menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial