KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Masanya sudah tiba untuk kerajaan mengkaji keperluan memperkenal akta baharu bagi membolehkan sesebuah syarikat didakwa atas kegagalan serius dalam menguruskan keselamatan pekerja atau orang awam serta kecuaian yang mengakibatkan kematian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata akta berkenaan telah diamalkan di United Kingdom (UK) yang dikenali sebagai UK Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007.
“Akta ini diwujudkan di UK sebagai tindak balas terhadap beberapa kes kematian di tempat kerja di mana tiada pihak korporat dapat dipertanggungjawabkan secara jenayah di bawah undang-undang terutamanya syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan kerana ia melibatkan nyawa manusia yang tidak ternilai harganya,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam insiden kemalangan tragik yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik awal pagi semalam.
Dalam hal ini, Azalina turut mencadangkan agar keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dilihat semula selain kerajaan perlu mengkaji keperluan untuk meminda Kanun Keseksaan.
Semalam, Loke berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik yang mengorbankan 15 pelajar UPSI.
Loke berkata pada masa sama, Jabatan Pengangkutan Jalan turut menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan terhadap bas serta syarikat terbabit mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Pengangkutan Awam Darat.
“Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai. Setiap nyawa yang terkorban adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga tetapi kepada masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial