PDRM Hasrat Bukukan Pengalaman Pegawai Kanan Terlibat Operasi Khas

10/06/2025 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat untuk menerbitkan buku yang menceritakan pengalaman bekas pegawai kanannya yang bertanggungjawab menjalankan pelbagai operasi khas sebagai panduan kepada anggota dan pegawai muda.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata bagi menjayakan hasrat itu pihaknya akan mendapatkan maklumat dan pandangan daripada ahli Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) yang pernah terlibat dalam menjayakan operasi sedemikian.

“Dalam Cawangan Khas (SB) sendiri memang kita ada menghasilkan buku mengenai operasi yang dibuat, seperti di Jabatan Siasatan Jenayah, saya rasa banyak operasi perlu dibukukan agar menjadi rujukan kepada pegawai dan anggota baru yang terlibat dalam operasi.

“Ini kerana pengalaman dan maklumat yang ada pada pegawai polis lama dan yang telah bersara ini terlalu banyak, mungkin ada operasi yang sama dan buku ini boleh dijadikan panduan agar pegawai baharu tidak melakukan kesilapan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke 41 Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) di sini hari ini, yang turut dihadiri pengerusinya Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin.

Ayob Khan berkata usaha itu dijangka memakan masa kerana memerlukan maklumat-maklumat dan pengalaman-pengalaman daripada pegawai lama.

“Secara peribadi pun banyak pegawai ‘senior’ yang sudah pencen ini menghubungi saya, kadang-kadang berkenaan isu-isu sensitif dari segi perundangan sebagainya, banyak yang saya gunakan sebagai panduan,” katanya.

Sementara itu Ayob Khan dalam ucapannya menyeru ahli Respa untuk mengemas kini maklumat peribadi dalam sistem e-Pesara PDRM, khususnya membabitkan alamat terkini, status kesihatan dan waris yang boleh dihubungi bagi penyaluran maklumat berkaitan faedah dan ganjaran daripada kerajaan.

Di majlis itu juga Respa turut menyalurkan wang sumbangan derma berjumlah RM51,712 kepada waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Kem Sungai Senam Ipoh, Perak yang terlibat dalam kemalangan di Teluk Intan pada 13 Mei lepas yang menyebabkan sembilan anggota pasukan itu terkorban.

Cek sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ayob Khan kepada Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ACP Mohd Fadhli Daud yang mewakili waris anggota yang terlibat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan