KOTA BHARU, 6 Jun (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 mematahkan cubaan menyeludup masuk 8,000 tumbuhan bernilai lebih RM500,000 dalam satu pemeriksaan terhadap sebuah lori di Jalan Kampung Kubang Rambutan dekat Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan itu dilakukan pada 12.45 tengah malam semasa rondaan rutin dalam Operasi Taring WAWASAN Kelantan yang dijalankan berhampiran kawasan sempadan.
“Pemeriksaan terhadap lori yang mencurigakan itu membawa kepada penemuan 4,000 anak pokok durian jenis Black Thorn, 2,000 pokok bunga kertas, 1,000 pokok rambutan dan 1,000 pokok delima yang disyaki diseludup dari negara jiran, Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu lori ialah seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati kesemua tumbuhan terbabit dipercayai dibawa masuk tanpa dokumen sah dan dalam perjalanan untuk dihantar ke sebuah nurseri di Kulim, Kedah,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan lori dianggarkan berjumlah RM590,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan kesemua barang rampasan serta suspek telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial