Mahkamah Beku Aset Luar Negara Na'imah Bernilai GBP132 Juta

03/06/2025 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membekukan aset bernilai GBP132 juta di London, United Kingdom yang didakwa dimiliki isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan keluarganya.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) oleh SPRM di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), bagi siasatan di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Aset-aset itu ialah dua buah bangunan komersial di St Mary Axe dan One Crown Court, tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate, dua unit kediaman di Gloucester Place dan satu akaun bank CAF Bank Limited (UK) didakwa milik The Ilham Foundation.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara tersebut.

Pada 22 Mei, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar, berkaitan harta pemilikan Daim serta keluarga dan proksi.

Azam berkata maklumat terbaharu menunjukkan pemilikan aset Daim, keluarga dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan pada 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan